KELUH RESAH MIC

Posted by Dongeng Si Puteri , Sunday, May 23, 2010 10:04 AM

Ramai yg sedang berspekulasi dengan kedudukan MIC saat ini. Kemelut dalaman yang sedang bergolak sedikit sebanyak boleh memberikan impak yang besar pada Barisan Nasional. Kemelut MCA yang berlaku tidak lama dulu telah memberikan laluan mudah kepada DAP merampas banyak kerusi di PRU 12 yang lalu.

Kini suara-suara sumbang sudah mula memperkatakan kemelut politik MIC. Teguran dan nasihat telah diberikan oleh pimpinan BN namun seolah sekadar melepaskan batuk di tangga. Dan akhirnya bekas Timbalan Ketua Pemudanya V. Mugilan dipecat daripada keahlian dengan alasan beliau telah mensabotaj PRK Hulu Selangor kerana kesal tidak dipilih menjadi calun. Namun Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menangkis alasan itu kerana beliau yakin V. Mugilan telah membantu calon MIC P. Kamalanathan berkempen.

Suasana saling tuding menuding ini pernah terjadi dalam UMNO juga di mana Johor pernah meminta PM pada ketika itu agar turun takhta yang baru didudukinya. Apa lagi kalau sudah terlalu lama kerusi empuk itu diduduki dan sayang sangat nak dilepaskan. Sudah sampai masanya untuk siapapun turun takhta. Bagi orang lain menunjukkan kepimpinan yang baru. Beri mereka peluang untuk menonjolkan diri. Kalau asyik diri kita saja yang berada di puncak, bila pula orang lain nak merasa.

GAS dah dilancarkan tapi ada lagi suara sumbang melarang ahli MIC dari menyertainya atau mereka akan diambil tindakan oleh pucuk pimpinan. Kalau semua diambil tindakan, tinggal berapa kerat lagi ahli MIC yang ada. Kalau semua nak digantung dan digugurkan keahlian, ada berapa ramai lagi yang akan berada dalam MIC.

Senang Puteri nak kata, kalau semua dipecat lama-lama tiada ahli yg tinggal, tak ke naya? Apapun Puteri cuma insan biasa.

Keadilan untuk Koperal Jenain Subi

Posted by Dongeng Si Puteri , Friday, May 14, 2010 10:24 AM

Kita tidak berada di sana untuk menceritakan kebenaran. Kita tidak ada di sana pada ketika kejadian tapi kita semua telah menjatuhkan hukuman pada Koperal Jenain Subi di atas pematian adik Aminulrasyid. Namun sejauh manakah kita mengetahui apa yang telah berlaku? Kita mendengar kenyataan saksi Adik Azamuddin tapi benarkah apa yang dikatakan. Kenapa dia lari meninggalkan kawannya ketika arwah Aminulrasyid memerlukan bantuan?

Apa yang dilakukan oleh anak berumur 15 tahun di jalanan pada jam 1am di kala remaja lain lena diulit mimpi. Persoalan ini menghantui pemikiran puteri. Hati ibu dan keluarga seolah tidak runsing walau anak tidak berada di rumah pada waktu tengah malam. Puteri merasakan bahawa perkara ini sudah jadi kebiasaan pada pada remaja itu sehingga ibunya tidak runsing.

Memandu kenderaan bagi remaja 15 tahun yang tidak berlesen menunjukkan betapa undang-undang hanya sekadar akta yang tidak diperlukan. Sudahlah tidak ada berlesen membawa penumpang pula. Pemunya kenderaan telah merelakan arwah menggunakan keretanya untuk dipandu dan seolah tidak memperdulikan akta yang telah disusun sedemikian rupa oleh para penggubal undang-undang.

Puteri kesal dengan sikap keluarga yang seolah tidak mengambil berat soal keselamatan anak-anak dengan membiarkan anak-anak berkeliaran di jalanan pada waktu yang tidak sepatutnya. Puteri kesal dengan sikap keluarga yang memberikan kemanjaan yang berlebihan kepada anak-anak hingga anak-anak mengambil kesempatan dia atas kepercayaan ibu bapanya.
Wajarkah keluarga memberikan kebebasan yang jitu pada anak-anak sehingga tidak ada sedikitpun rasa curiga pada anak-anak.

Semoga ini menjadi iktibar kepada semua ibu bapa agar lebih berwaspada.


13 Mei dalam kenangan

Posted by Dongeng Si Puteri , Monday, May 10, 2010 4:46 AM

3 hari lagi genaplah 41 tahun peristiwa berdarah 13 Mei. Mengimbas sedikit sejarah yang telah mengorbankan banyak nyawa dan rusuhan kaum yang melanda terutama di ibu negara. Perpaduan yang baru disemai menjadi mimpi ngeri bagi setiap individu masa itu.

Kini setelah 41 tahun, sepatutnya kita sudah kukuh dan bersatu padu dalam semua aspek. Tidak ada lagi suara-suara sumbang dan saling tuding menuding antara kaum tapi rupanya perpaduan belum tersemai sepenuhnya malah menjadi semakin meruncing. Bezanya kini tidak ada peristiwa berdarah tetapi lebih kepada peperangan mental.

Sepatutnya rakyat Malaysia bersatu hati bukannya berpecah-belah. Perbezaan fahaman politik bukan alasan untuk berpecah dan saling menuding jari. Tegur-menegurlah tapi dengan cara berhemah. Pada ketika pilihanraya kalau nak berkempen pun janganlah sampai menggores hati mana-mana kaum.

Sedih juga bila mengimbas kembali insiden yang terjadi di PRK Hulu Selangor baru-baru ini. Pertelingkahan yang menyebabkan luka dan berdarah walaupun tidak seserius ketika peristiwa berdarah 13 Mei 1969 sedikit sebanyak boleh membangkitkan perasaan tidak senang dan sekiranya ia tidak dibendung, tidak mustahil ianya akan berulang lagi.

Kadang-kala kita dapat melihat senario pertelingkahan, pergaduhan dan caci maki antara penyokong parti politik. Kalau mempertahankan parti pun gunakanlah pendekatan yang lebih halus agar ketegangan tidak berlaku. Namun apa yang nak dihairankan andai pemimpin bawahan berbuat demikian kerana ada pepatah mengatakan, 'kalau guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari'.

Sekadar teguran dari puteri yang cuma insan biasa. Pada semua YB tak kira Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, gunakanlah tutur bahasa yang baik dan berperangailah seperti manusia bertamaddun. Anak saudara puteri di Pra Sekolah selalu berkata ketika kami menonton siaran dari Parlimen "Ucu, nape orang tua tu bergaduh dan main tepuk-tepuk meja? Macam budak di kelas adik."

Fikir-fikirkanlah apa yang puteri kata. Jangan biarkan peristiwa berdarah 13 Mei berulang lagi demi kesejahteraan anak cucu kita di masa hadapan. Kalaupun kita tidak memikirkan diri kita, fikirkanlah mereka.

Kes rogol di kalangan kanak-kanak

Posted by Dongeng Si Puteri , Friday, May 7, 2010 9:13 AM

Dewasa ini kita disajikan dengan pelbagai siri rogol yang melibatkan kanak-kanak. Definisi kanak-kanak di sini adalah berumur bawah 17 tahun. Kejadian yang menyayat hati setiap insan yang bergelar manusia namun menjadi keseronokkan bagi mereka haiwan bertopengkan manusia. Puteri merasa terpanggil untuk berkongsi beberapa kes yang menjadi liputan hangat di semua peringkat media. Kisah-kisah yang boleh kita jadikan ikhtibar dan panduan dalam hidup agar lebih berwaspada.

Banyak juga kes rogol yang tidak dilapurkan. Samada mangsa sendiri tidak memaklumkan kepada mana-mana pihak termasuk kedua ibu bapa kerana takut akan disalahkan ataupun telah memaklumkan tetapi demi menjaga maruah keluarga maka ianya didiamkan. Relevankah tindakan sedemikian? Membiarkan si pelaku bebas lepas hanya kerana menjaga nama baik keluarga dan pelaku bebas melakukannya pada orang lain.

Kalau kita sorot kembali pada satu siri rogol beramai-ramai yang berlaku di Felda Sungai Klah, Sungkai Perak di mana seorang anak gadis berumur 15 tahun dirogol secara bergilir-gilir dalam 2 siri pada hari yang sama oleh 14 orang lelaki. Kalau dirogol oleh seorang lelaki saja pun, kesakitannya mungkin kita tidak dapat bayangkan, apatah lagi bila dirogol oleh 14 orang lelaki. Mengalami kesakitan dan akhirnya puteri rasa anak malang itu sudah tidak berupaya dan terpaksa merelakan tanpa melawan. Apalah kudrat anak gadis sekecil itu.

Dikatakan suasana sunyi, kelalaian ibu bapa, kebanjiran filem-filem lucah di pasaran dan gagal mengawal nafsu adalah punca kepada fenomena ini. Memanglah benar kerana kelalaian kerana ada ibu bapa yang tidak bertanya bila anak balik jauh malam dan lambakan bahan lucah yg banyak di pasaran yang laku bagai goreng pisang panas.

Apa sudah jadi pada institusi keluarga bila kejadian rogol juga berlaku dalam lingkungan itu sendiri. Ada manusia sudah menjadi haruan memakan anak sendiri. Terbaru seorang ayah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun dan 5 kali sebatan kerana meliwat anak perempuan berumur 9 tahun. Anak dari darah daging sendiri diperlakukan sedemikian. Pada umur 9 tahun, anak-anak belum mengertipun apa itu hubungan sexual. Dengan tubuh kerdil menahan kesakitan dan masih tidak tahu apa yang berlaku.

Kanak-kanak merupakan golongan yang lemah dan harus diberi didikan yang sempurna oleh keluarga mereka dan bukan sebagai alat yang boleh dilakukan dengan sesuka hati mereka sahaja. Anak-anak sepatutnya disayangi dan dilindungi. Betullah kata Hakim Wan Norzannura Wan Ahmad ketika menjatuhkan hukuman "Sebagai bapa, kamu sepatutnya menjadi pelindung kepada anak kamu, bukan meliwatnya."

Penguatkuasa undang-undang dan penjaga keselamatan rakyat tidak terkecuali daripada melakukan perbuatan keji itu. Pada Oktober 2009, seorang polis berpangkat Sarjan Mejar berusia lewat 40an menghadapi pertuduhan merogol seorang gadis di bawah umur di Kota Bahru, Kelantan. Begitu juga pada kes rogol di Seremban yang juga melibatkan seorang anggota polis merogol pelajar berusia 14 tahun.

Memang benar bukan semua anggota beruniform berhati binatang tetapi sebagai penjaga keamanan mereka sepatutnya menjadi contoh dan tempat berlindung tetapi mereka turut sama menyumbang meningkatnya statistik jenayah rogol di negara ini. Ada di kalangan mereka yang berkata kami juga insan biasa. Betullah tu tapi insan biasa yang telah menerima amanah dan terikat dengan sumpah jawatan.

Sekolah yang sepatutnya menjadi pusat gedung ilmu tidak terkecuali daripada tempat berlakunya kes rogol. Seorang pelajar telah dirogol di dalam bilik darjah oleh sekumpulan 8 orang pelajar lelaki. Malah dalam kes yang terbaru, selepas dirogol, pensil juga dimasukkan dalam kemaluan pelajar itu. Itu sudah berlaku di luar batas kemanusiaan. Namun yang peliknya, jenayah ini dilakukan di dalam kawasan sekolah. Di manakah pemantauan pihak sekolah? Syarikat penjaga keselamatan telah dilantik tapi jenayah tetap berlaku.

Itu hanya beberapa contoh yang puteri berikan. Kalau kita buat kajian secara terperinci maka kita akan mendapat lebih banyak info dan kita boleh jadikan rujukan di sini. Persoalannya di sini di mana nilai kemanusiaan dan kenapa ianya terjadi.

Bagi puteri Kanun Keseksaan 376 bagi rogol yang membawa hukuman tidak kurang dari lima (5) tahun dan tidak lebih daripada dua puluh (20) tahun dan sebatan itu tidak memadai malah terlalu ringan berbanding dengan jenayah yang telah dilakukan.

Wallahuallam.

Salam perkenalan

Posted by Dongeng Si Puteri , Wednesday, May 5, 2010 2:20 AM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hai semua yang ada. Puteri ini orang baru dalam blog. Baru nak belajarlah kata orang. Belajar mencari pengalaman dalam bidang baru. Puteri suka membaca blog-blog yang ada dan merasa terpanggil utk menjadi sebahagian dari komuniti ini. Harapan puteri, puteri dapat diterima apabila anda semua telah menilai hasil tulisan puteri.

Puteri juga meminta agar para blogger sekalian dapat memberikan teguran dan cadangan seandainya merasakan puteri melakukan kesilapan kerana puteri sama seperti semua orang, cuma insan biasa. Bertepatanlah dengan pantun lama tapi relevan dengan situasi puteri.

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Puteri budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.

Kita akan jumpa di posting puteri yang pertama tak lama lagi.